Pengenalan
Kemahiran motor halus adalah kemahiran yang melibatkan pengawalan otot-otot kecil pada tangan, pergelangan tangan, jari-jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini motor halus juga melibatkan koordinasi pergerakan otot kecil dan organ deria seperti pergerakan pada jari tangan dan koordinasinya dengan mata.
Dalam meningkatkan kemahiran motor halus ini, kanak-kanak akan berkebolehan melakukan aktiviti harian mereka sendiri. Contohnya kanak-kanak yang berumur 3 tahun dapat menggunakan sudu dengan betul. Bagi kanak-kanak yang lebih besar seperti berumur 5 tahun, mereka mungkin telah dapat menggunakan gunting untuk memotong kertas dan membuat bentuk. Manakala kanak-kanak yang berumur 6 tahun mereka berkebolehan mengikat tali kasut mereka.
Kemahiran kanak-kanak menggunakan gerakan tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan ‘dexterity’. Kemahiran ini turut melibatkan kebolehan mengkoordinasi mata dengan otot kecil tangan. Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Semasa kecil kanak-kanak telah mula belajar untuk memegang sesuatu pada tapak tangan mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka dapat menulis, melukis atau melakukan tugasan seperti memasang butang baju atau mengikat tali kasut dengan baik.
Ciri motor halus ini penting bagi kita khususnya dalam memahami perkembangan motor halus kanak-kanak. Selain itu, kita sebagai guru juga harus mengetahui ciri. Guru perlu tahu faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh pembelajaran kemahiran menulis, adalah penting kita memahami perkembangan motor halus dalam pengawalan pensil untuk kanak-kanak ini menulis. Guru harus tahu cara pengawalan gengaman jari tangan kanak-kanak. Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak masih di peringkat mengembangkan kemahiran mereka, guru ini akan mempertimbangkan beberapa penyelarasan dan penyesuaian bagi membantu kanak-kanak ini menulis dengan baik. Contohnya guru harus mempertimbangkan saiz, bentuk dan panjang pensil yang sesuai untuk kanak-kanak ini mula menulis.
Bagi kemahiran melukis pula, kajian yang telah dijalankan oleh Rhonda Kellogg, khususnya bagi kanak-kanak berumur 2 – 8 tahun mendapati bakat artis kanak-kanak bermula dengan lakaran simbol yang tertentu. Pada peringkat awal kanak-kanak akan melukis simbol sepert bentuk bulat, empat segi dan garisan lurus. Apabila kanak-kanak ini berumur 3 tahun mereka mula membuat bentuk muka, umur 4 tahun melukis gambar orang. Umur 5 tahun lukisan orang ini lebih baik dengan lukisan kaki dan tangan yang lebih lengkap beserta baju dan seluar. Pada tahap ini juga mereka telah dapat melukis objek lain seperti rumah, haiwan dan pokok.
Oleh itu, kanak-kanak ini memerlukan bantuan kita bagi memperkembangkan kemahiran menulis dan melukis mereka. Kita harus merangka strategi yang sesuai bagi membantu meningkatkan kemahiran kanak-kanak ini. Contohnya di sekolah kita membantu kanak-kanak yang baru mula menulis huruf dengan meminta mereka menulis huruf tersebut berulang kali sehingga mereka mahir dengan gerakan motor menulis huruf itu. Selepas itu baru kita kembangkan kemahiran ini dengan meminta mereka menulis satu perkataan yang lengkap dengan menggabungkan huruf – huruf tersebut bermula dengan perkataan yang memerlukan tiga atau empat huruf sahaja.
Satu lagi cara untuk membantu kanak-kanak mengembangkan motor halus mereka adalah dengan menggunakan bahan bantu yang bersesuaian. Contohnya bagi kanak-kanak yang baru hendak melukis penggunaan pensil krayon mungkin kurang sesuai memandangkan saiz pensil krayon yang agak kecil. Oleh itu kita seharusnya memberikan kanak-kanak saiz pensil warna yang agak besar bagi memudahkan mereka memegang pensil tersebut. Pensil yang berbentuk tiga segi juga dapat membantu kanak-kanak memegang pensil dengan kemas. Kemahiran gengaman seperti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dalam pengawalan motor halus mereka.
Selain itu, cara postur kedudukan tangan dan badan yang betul juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus. Kedudukkan tangan, kaki dan badan ini sangat penting dalam melaksana tugas yang memerlukan kemahiran motor halus. Craig dan Digdon (2001), menyatakan .kanak-kanak seharusnya dididik cara duduk yang betul dengan punggung, lutut dan kaki berada dalam kedudukan 90˚ dengan kedudukan badan mereka agak ke depan sedikit. Kedudukan meja pula seharusnya 2 inci dari siku ketika tangan mereka dalam kedudukan rehat. Sekiranya kerusi mereka terlalu tinggi dan kaki mereka tergantung, letakkan alas kaki agar mereka selesa. Apabila keadaan selesa kanak-kanak dapat mengerakkan tangan, lengan, dan jari dengan stabil.
Perkembangan Motor Halus Mengikut Usia
• Usia 1 – 6 Bulan
Pada usia 1 hingga 6 bulan bayi berupaya memberi fokus kepada objek yang hadir dalam pandangan mereka. Bayi juga boleh memberi perhatian kepada ibubapa atau orang dewasa yang menjaganya. Bayi juga mampu merenung kepada cahaya yang terang, ini juga adalah sebahagian dari tindak balas semulajadi bayi. Beberapa tindak balas awal terhadap rangsangan juga diperhatikan pada bayi. Bayi juga boleh mengikut pergerakan objek yang lalu di hadapan mereka. Pada saat ini bayi menerima stimuli visual yang sangat pesat.
• Usia 6 – 9 Bulan
Bayi sangat peka kepada barangan yang menarik perhatian mereka walaupun barangan permainan itu adalah kecil tatapi ianya berada dalam lingkungan pemandangan mereka.namun begitu perhatian mereka terhadap objek akan hilang sekiranya objek itu hilang dari pandangan mereka atau perhatian mereka telah beralih kepada ransangan yang lain. Bayi akan cuba mengapai objek yang menarik perhatian mereka dengan sebelah tangan sambil memandang kepada objek tersebut, kemudiannya akan mengalihkan objek itu ke tangan yang satu lagi. Bayi menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk ke arah sesuatu yang mereka mahu atau sesuatu yang menarik perhatian mereka.
• Usia 9 – 18 Bulan
Penumpuan bayi terhadap perkara atau objek yang menarik perhatian mereka akan menjadi lebih baik di mana bayi akan terus cuba mendapatkan objek yang mereka mahu walaupun objek itu sudah hilang dari kawasan pemandangan mereka. Bayi yang kini kanak-kanak mampu menggunakan jari telunjuk dan ibu jari ( Pincher grasp ) untuk mengambil barang yang mereka mahu. Kanak-kanak juga boleh menggunakan tiga jari (tripod grasp) untuk mengambil barang. Kebolehan bertepuk tangan, bermain, membina, menyusun bata adalah kemahiran motor halus yang dikuasai oleh kanak-kanak dari usia 9 hingga 18 bulan. Kebolehan Tripod grasp yang lebih baik membolehkan kanak-kanak menggunakan pensil untuk menconteng.
• Usia 18 Bulan – 5 Tahun
Pada usia 18 bulan hingga 5 tahun kanak-kanak sudah berupaya membuat pilihan atau kecenderungan penggunaan tangan ; sama ada tangan kanan atau kiri/kidal. Keupayaan menggunakan dua jari dan tripod grasp telah menjadikan mereka mampu untuk menyelak muka surat buku. Mereka juga mampu membina menara. Kanak-kanak pada usia ini sangat meminati lukisan dan sangat suka melukis kerana mereka sudah boleh menghasilkan bentuk- bentuk yang mungkin memberi makna kepada mereka. Pada ketika ini juga kanak-kanak boleh menggunakan gunting dengan baik. Koordinasi mata dengan tangan yang baik membolehkan kanak-kanak menguntai manik.
• Usia 5 – 7 Tahun
Pengawasan pensil yang baik berlaku di usia ini. Kanak-kanak juga mampu mencucuk benang pada jarum yang besar dan menjahit. Penulisan menjadi lebih baik begitu juga dengan lukisan.
• Perkembangan Motor Halus Kanak-Kanak Prasekolah
• Koordinasi mata dan tangan yang digunakan untuk menggunting dengan sempurna adalah satu kemahiran motor halus yang biasanya dapat dilakukan oleh kanak-kanak di usia prasekolah. Kanak- kanak biasanya sudah boleh mengutip dengan menggunakan dua jari; iaitu jari telunjuk dan ibu jari ( Pincher Grasp ), namun mereka memerlukan masa yang lebih panjang untuk menggunakan Pincher Grasp dengan lebih baik.
• Pada usia prasekolah juga kanak-kanak akan lebih matang dalam perkembangan motor halus mereka. Pada usia dua tahun, kanak-kanak sudah mampu untuk membuat contengan bebas, menyarung pakaian, mengalihkan mukasurat buku dan membina menara dari enam hingga lapan buah blok. Pada usia tiga tahun, perkembangan motor halus kanak-kanak akan menjadi lebih matang apabila mereka boleh makan menggunakan sudu, menconteng berbentuk bulatan. Pada usia empat tahun pula, kanak-kanak sudah mampu menyarung pakaian mereka sendiri, melukis lakaran manusia dan menggunakan gunting dan menggunting garisan yang disediakan. Kemahiran motor halus yang lebih rumit seperti mengenakan butang akan dapat dilakukan oleh kanak-kanak apabila mereka berusia 5 tahun Mereka juga sudah boleh mengenakan zip, membuka zip dan mencucuk benang dan manik.
• Isu sama ada kanak-kanak itu seorang yang kidal atau menggunakan tangan kanan juga menjadi perhatian semasa usia prasekolah. Ini adalah kerana pada usia ini terserlahlah samada kanak-kanak itu menggunakan tangan kanan atau kidal. Namun begitu kidal atau kanan adalah lebih bergantung kepada faktor genetik berbanding dengan faktor persekitaran.
Aktiviti untuk meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.
• Aktiviti motor halus adalah aktiviti yang menggunakan kecekapan koordinasi mata dan tangan. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru untuk membantu perkembangan motor halus kanak-kanak.
• Aktiviti menuang bahan dari bekas yang besar ke bekas yang kecil. Bahan-bahan yang boleh digunakan untuk aktiviti ini adalah seperti air, pasir dan bijirin.
• Aktiviti menggunting merupakan aktiviti yang paling baik untuk kemahiran motor halus kanak-kanak. Kanak-kanak boleh diberikan latihan untuk menggunting bentuk-bentuk yang besar pada awalnya dan seterusnya guntinggan-guntingan yang lebih rumit.
• Kolaj ~ Pelbagai jenis kolaj yang menggunakan pelbagai jenis bahan boleh membantu perkembangan motor halus kanak-kanak. Kemahiran menampal kolaj menambahkan kecekapan motor halus kanak-kanak.
• Aktiviti mengoyak kertas atau surat khabar boleh meningkatkan kecekapan motor halus kanak-kanak.
• Menyulam manik
• Menekap gambar yang sedia ada
• Membentuk plastisin menjadi bola menggunakan kedua tapak tangan.
• Membentuk plastisin menjadi biji menggunakan jari.
• Mengocak dadu menggunakan genggaman tapak tangan..
• Membuat aktiviti mengait dan menjahit seperti memasukkan manik pada benang.
• Bermain permainan seperti "puppet " – dengan menggunakan ibu jari, jari tengah dan jari kelengkeng.
• Mengikat tali kasut
Matlamat Pembelajaran Motor Halus PPK (2003)
Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) telah mengariskan beberapa matlamat dan hasil pembelajaran motor halus bagi kanak-kanak dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah. Matlamat umum perkembangan motor halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara lebih khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat menggunakan jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Jadual 3.1 di bawah berikut menunjukkan kandungan dan hasil pembelajaran motor halus. Hasil pembelajaran ini memberikan fokus perkembangan penggunaan jari tangan kanak-kanak bagi membuat aktiviti motor halus.
Masalah Penguasaan Kemahiran Motor Halus
Gerakan motor halus merupakan salah satu perkembangan yang penting dalam pergerakan anggota badan kanak-kanak. Semasa di peringkat perkembangan ini, gerakan motor halus seperti meminta kanak-kanak mengikat tali kasut atau memasang butang baju merupakan cabaran yang besar bagi kanak-kanak berbanding gerakan motor kasar. Pada peringkat ini sistem saraf pusat mereka masih belum mencapai tahap kematangan yang sepenuhnya. Oleh itu proses penghantaran maklumat dalam sistem saraf ke jari tangan masih agak sukar. Selain itu, otot kecil juga lebih cepat letih berbanding otot besar. Jari yang masih kecil juga menyukarkan kanka-kanak ini untuk mengawalnya. Semua cabaran penggunan motor halus ini memerlukan lebih kesabaran bagi kanak-kanak yang secara umumnya belum lagi memiliki sikap sabar ini.
Kemahiran gerakan motor halus juga boleh menjadi lambat disebabkan beberapa faktor antaranya; kecederaan, penyakit, stroke atau keadaan tidak normal sejak lahir. Kanak-kanak yang berumur 5 tahun dan ke atas tetapi tidak menunjukkan perkembangan motor halus yang baharu kemungkinan mengalami masalah dalam membuat gerakan motor halus. Masalah ini juga boleh berkait dengan keadaan kesihatan kanak-kanak seperti penyakit sawan, terencat akal, buta, pekak atau disebabkan diabetes. Kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan yang lambat dalam kemahiran motor halus ini juga akan mempunyai masalah dalam mengawal koordinasi pergerakan badan khususnya bahagian muka, tangan dan jari.
Sesetengah tanda terencat perkembangan motor boleh dilihat semasa kanak-kanak ini berumur 2 tahun. Tanda-tanda ini adalah seperti kesukaran untuk duduk atau mengangkat kepala, sukar berdiri jika tidak dibantu, sukar untuk bergerak seperti merangkak, atau tempoh berjalan yang agak lambat. Perkembangan lambat bagi motor halus pula kadang kala dapat dilihat ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah. Contohnya kanak-kanak ini sukar untuk memegang pensil, sukar untuk melukis atau sukar memasang butang baju. Oleh itu ibu bapa, penjaga dan guru harus faham tentang perkembangan dan keperluan motor halus kanak-kanak agar perkembangan mereka dapat dibantu dengan sebaiknya.
Oleh itu, bagi membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus memerlukan perancangan, masa, dan pelbagai bahan bantu. Perkembangan motor halus dapat digalakkan dengan aktiviti yang seronok, termasuk seperti permainan kraf, jigsaw, dan membina blok lego. Meminta kanak-kanak membantu ibubapa membuat kerja rumah seperti memotong buah, atau mengacau tepung juga merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor halus mereka. Selain itu ia juga dapat meningkatkan kebolehan koordinasi tangan-mata. Oleh kerana perkembangan motor halus memainkan peranan yang penting dalam persediaan kanak-kanak memasuki sekolah dan perkembangan kognitif maka kemahiran ini seharusnya diberi perhatian dalam kurikulum prasekolah.