Tuesday 10 January 2023

INOVASI: Cara membangunkan sebuah inovasi

 LANGKAH MENGHASILKAN IDEA INOVASI?


Pertama:
Kenalpasti sesuatu masalah yang kalian nak selesaikan.
Contohnya: murid tu ada masalah untuk menghafal sifir. Atau ada murid yang keliru untuk kuasai rumus-rumus tatabahasa. Jadi, bagaimana kita nak cari jalan penyelesaiannya?  
Kita juga perlu kenalpasti masalah ini pada tahap mana? Sama ada tahap asas? Sederhana? Tinggi? Supaya bahan yang kita hasilkan itu nanti bersesuaian.Jangan lupa untuk tetapkan sasaran yang ada mahukan untuk menggunakan inovasi anda nanti.

Kedua:
Selepas dah tahu masalah yang kita nak selesaikan tu, barulah kita nyatakan objektif atau matlamat yang kita harapkan dari inovasi yang bakal kita hasilkan.
Contohnya, objektif utama untuk penghasilan inovasi …?.... adalah untuk menyelesaikan kekeliruan…, meningkatkan daya ingatan…, memudahkan pemahaman… dan lain-lain. Apapun, kita perlukan keyakinan terhadap objektif yang kita gariskan supaya bahan inovasi yang dihasilkan nanti dapatlah memenuhi objektif yang kita mahukan.

Ketiga:
Haaa… peringkat ini paling penting! Kalian perlu banyak membaca, mengkaji, memahami, menganalisis setiap maklumat yang berkaitan tentang masalah dan cara nak selesaikan masalah itu. Kalian boleh baca jurnal atau mana-mana kajian yang telah orang ramai jalankan. Tekan sahaja masalah yang kalian nak cari tu di Mr.Google, semua ada. Ambillah pandangan daripada kata-kata tokoh yang berkaliber dalam bidang tersebut. Daripada situlah kita dapat cari idea untuk olah idea asal dan cuba gabungjalin dengan teori mana-mana kemudian tambah baik dengan idea sendiri. Ingat! Apabila kita mengambil sesuatu idea daripada idea asal seseorang…. Maka perlulah untuk kita labelkan nama pemilik asalnya. 
 Baiklah, setelah kita faham sesuatu isu dan bagaimana nak selesaikan, kita bolehlah berbincang dengan rakan sepasukan. Berbincang ini penting supaya idea masing-masing dapat diluahkan dan ditolak sekiranya tidak sesuai. Dalam inovasi ini, kita perlukan idea daripada rakan sepasukan. Sebab? Kalau idea kita seorang, alamatnya syok sendiri la jadinya. Takut nanti ada sahaja kepincangan dan tak sesuai. Setelah berbincang barulah kalian tetapkan bentuk inovasi yang kalian hendak jalankan. Sama ada inovasi itu berbentuk kaedah ataupun berbentuk bahan.

Keempat:
Seperti biasa, bila dah ada idea maka kita hasilkanlah bersama-sama ahli pasukan. Waktu ini anda perlu catat setiap kos dan tempoh masa penghasilan inovasi anda. Untuk catat setiap kos anda pastikan anda buka satu buku kira-kira supaya boleh tahu berapa modal yang kalian laburkan dan berapa banyak wang yang telah digunakan. Anda juga perlu lakukan pemerhatian dari segi penggunaan bahan yang tahan lama, menarik dan berpatutan dari segi kosnya. Untuk masa penghasilan inovasi pula, kalian perlu sediakan carta Gantt (Lihat gambar dibawah) supaya anda dapat menyiapkan inovasi anda mengikut tempoh masa yang ditetapkan.




Kelima:
Setelah bahan inovasi atau kaedah inovasi berjaya dihasilkan, anda perlulah mengujinya. Sebelum diuji, bentangkan dahulu inovasi anda kepada pihak yang pakar contohnya pensyarah anda ataupun senior anda yang lebih berpengalaman. Anda perlu kenalpasti kritikan mereka dan cuba tambah baik sekiranya perlu. Hal ini supaya, semasa kajian rintis dijalankan tidaklah berlaku kekeliruan dalam kalangan sasaran.

Keenam:
Anda perlu siapkan sebuah buku panduan atau manual pengguna untuk menggunakan inovasi anda hasilkan. Hal ini demikian kerana, bagi memudahkan pihak ketiga menggunakannya semasa proses uji cuba.

Ketujuh:
Jalankan kajian rintis di sekolah atau IPT mengikut golongan sasaran yang digariskan. Setiap kali kajian rintis dijalankan, pastikan anda sediakan ujian pra/pos, kemudian ajar menggunakan inovasi anda lalu barulah jalankan ujian pasca/selepas. Setiap data perlu dicatat dengan teliti dan jujur. Setelah data dikumpul, anda perlu bina graf untuk ujian pos dan pasca untuk melihat perbandingan setelah menggunakan inovasi anda. Contoh: Graf bar berganda atau graf garisan berganda.





Kelapan:
Jalankan penambahbaikan jika perlu. Kemudian perkara paling penting adalah dapatkan pengesahan hak cipta. Contohnya: My IPO.  Benda ini penting supaya bahan inovasi kita atau idea kita tidak digunapakai oleh pihak yang tidak sepatutnya. Nak dapatkan hak cipta ni bagaimana ye? Rujuk entri akan datang.




Kesembilan:
Buat kesimpulan, dan bolehlah bersedia kalau nak sertai mana-mana pertandingan inovasi pdpc jika dianjurkan. Jika nak sertai pertandingan, anda perlu menghasilkan bahan-bahan lain pula untuk pameran dan pembentangan. Nanti saya ceritakan pada entri akan datang.

No comments:

Post a Comment

Templet Bahan Bantu Mengajar Express Cikgu Sal 2024 - Katak Cikgu Sal

                                                               Katak  C ikgu Sal